fb fb fb fb fb

Kolam Takungan: Kerja menstabilkan tebing dijangka siap sebulan

Datuk Ir Izham Hashim meninjau kejadian tapak kolam takungan yang pecah di Taman Seri Alam, Saujana Utama semalam/Foto Facebook Izham Hashim

KUALA SELANGOR, 31 Disember - Kerja menstabilkan tebing dan tembok penahan di takungan air berdekatan Taman Seri Alam, Saujana Utama, dijangka siap dalam tempoh sebulan sebagai langkah jangka pendek untuk mencegah banjir.

Exco Infrastruktur Selangor, Datuk Ir Izham Hashim, berkata pemaju akan melaksanakan penstabilan tebing serta mendalamkan kawasan kolam untuk mengawal paras air, selain menggantikan struktur sementara dengan tembok kekal.

"Keutamaan pada masa ini adalah membaiki serta menstabilkan dahulu struktur tebing dan tembok penahan (Retaining Wall) yang runtuh ini.

"Untuk penyelesaian jangka masa panjang adalah dengan menaik taraf longkang dan parit serta mendalamkan kolam takungan ini.

"Sasaran asalnya dua bulan, tetapi kerja-kerja ini telah siap dalam tempoh dua hari sahaja. Ketika ini, paras air telah meningkat lebih tiga meter. Kita mahu kekalkan paras maksimum dua meter.

"Kajian menyeluruh telah dilakukan, termasuk beberapa cadangan daripada pihak negeri. Kita akan menambah baik sistem ini untuk memastikan keupayaan saliran air yang lebih cekap sebagai langkah jangka panjang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak kolam itu di sini pada Selasa.

Selain itu, parit dan longkang di kawasan sekitar juga akan dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti pengaliran air ke Sungai Buloh.

Kolam yang dibina pada 2015 dengan reka bentuk dinding getah setinggi 0.2 meter ini didapati tidak dapat menampung air yang melimpah sehingga ketinggian 0.3 meter menyebabkan benteng pecah dan banjir yang menjejaskan 200 kediaman di Taman Seri Alam.

GRACE AISYAH KEDAYAN