fb fb fb fb fb

Kesungguhan, komitmen Kerajaan MADANI lonjak ekonomi 2024 - Fadillah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Januari- Kesungguhan, komitmen padu dan perencanaan strategik Kerajaan MADANI, berjaya melonjakkan ekonomi negara sepanjang 2024, demi kesejahteraan rakyat.

Menerusi perkongsian di Facebook, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus berusaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat.

"Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia kerana berkat kerjasama ‘segulai sejalai’ semua lapisan rakyat dari sektor awam, swasta sehinggalah ke petani dan nelayan, Malaysia mampu mendepani apa jua cabaran untuk terus melangkah maju ke hadapan.

"Saya akui bahawa perjalanan kami mengemudi kerajaan bukanlah satu hal yang mudah, dan perjalanan ini masih panjang.

"Di peringkat antarabangsa pula, kita turut menyaksikan banyak peristiwa penting sepanjang tahun 2024 ini yang wajar kita cermati.

"Pilihan Raya India, pemilihan semula Presiden Donald Trump, penyertaan Malaysia ke dalam blok ekonomi BRICS, kejatuhan rejim Bashar al-Assad dan kejatuhan kerajaan Perancis, termasuklah di peringkat ASEAN; pilihan raya umum (Pemilu) Indonesia serta pelantikan rasmi Presiden, Prabowo Subianto, diikuti pelantikan Perdana Menteri Thailand yang baharu.

"Peristiwa-peristiwa ini mencerminkan perubahan dan perkembangan signifikan dalam arena politik global, sekali gus mengajar kita untuk melihat dunia dari lensa yang pelbagai, di samping menjadi peringatan untuk kita lekas beradaptasi dengan perubahan semasa yang semakin menginjak pantas," katanya.

Tambahnya, kerajaan akan melangkah ke tahun 2025 dengan semangat dan kebersamaan yang lebih kuat, serta merangkul lebih banyak pencapaian demi Malaysia tercinta.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM