fb fb fb fb fb

Kolaborasi TM, YEPB bakal wujud 5,000 peluang pekerjaan

(Datuk Zahidi dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara TM
dengan YEPB dan Perjanjian Kerjasama antara YEPB dengan Ikhtiar Factoring Sdn Bhd/BERNAMA)

PETALING JAYA, 18 Ogos - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi Yayasan Ekonomi Padang Besar (YEPB) menyasarkan 5,000 peluang pekerjaan menerusi Program Kerjaya JENDELA YEPB.

Kolaborasi bersama Syarikat Telekom Malaysia Berhad itu menawarkan program bekerja sambil belajar dengan gaji antara RM1,800 sehingga RM4,000 sebulan.

Jelas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, inisiatif itu juga bagi menempatkan lebih banyak tenaga mahir dalam bidang telekomunikasi tempatan.

“YEPB melalui K-KOMM jadi penyelaras kepada projek fiber optik, antaranya kita melatih tenaga kerja mahir secara berperingkat dalam bidang telekomunikasi serta gentian optik.

“Di samping itu ada juga program vendor di bawah TM, memberi projek kepada syarikat bumiputera berkaitan gentian optik untuk jalankan kerja-kerja di bawah JENDELA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TM dengan YEPB dan Perjanjian Kerjasama antara YEPB dengan Ikhtiar Factoring Sdn Bhd hari ini.

(Majlis Menandatangani MoUantara TM dengan YEPB dan Perjanjian Kerjasama antara YEPB
dengan Ikhtiar Factoring Sdn Bhd/BERNAMA)

Tambah Zahidi, K-KOMM bakal memperluas skim latihan seumpamanya bagi mengisi sebanyak 17,00 kekosongan dalam bidang perlindungan data peribadi.

Terdahulu, MoU antara TM dan YEPB telah ditandatangani Naib Presiden Pelaksanaan dan Operasi Rangkaian dan Teknologi Kumpulan TM Ansahari Abdul Kudus dan Ketua Pegawai Eksekutif YEPB Aweena Mohd Arshad.

Perjanjian Kerjasama antara YEPB dengan Ikhtiar Factoring Sdn Bhd pula telah ditandatangani oleh Aweena dan Pengarah Operasi Kredit Ikhtiar Factoring Sdn Bhd Khalaif Noor Roslizam.

Media Baharu