fb fb fb fb fb

Agensi kawal selia negara ASEAN perlu bergabung, bincang cabaran terkini komunikasi - Annuar

(Tan Sri Annuar Musa ditemu bual Berita RTM selepas melakukan kunjung hormat ke Badan Aksesabilitas Telekomunikasi
dan Informasi (BAKTI), Kementerian Komunikasi Informatika (Kominfo) di Jakarta, Indonesia)  

JAKARTA, 18 Ogos - Agensi kawal selia negara-negara ASEAN perlu bergabung menerusi forum tertentu untuk membincangkan cabaran terkini komunikasi menerusi konsep kewujudan bersama.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, usaha perlu dilaksanakan secara dua hala terutamanya dalam mengadaptasi kepada teknologi serta pengalaman masing-masing.

"Kerana kita tahu pertama sekali negara Indonesia sebuah negara yang besar mempunyai pengalaman yang tersendiri, bagaimana rangkaian telah dibina, sistem yang dipakai di sana dan juga penggunaan teknologi satelit yang lebih meluas di Indonesia kerana kita juga sedang melihat kepada perkembangan penggunaan geo satelit, dan geo satelit sama ada perkara itu daripada sudut pandang pembuat-pembuat dasar dan regulator di Indonesia sendiri, jadi ini penting bagi MCMC mengubal dasar-dasar seterusnya tentang penggunaan satelit 'roll out', perkhidmatan jalur lebar, 5G dan sebagainya," kata beliau selepas melakukan kunjung hormat ke Badan Aksesabilitas Telekomunikasi dan Informasi (BAKTI), Kementerian Komunikasi Informatika (Kominfo), di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Annuar mengadakan perbincangan mengenai perkhidmatan jalur lebar dan penyediaan infrastruktur perluasan rangkaian perkhidmatan internet di kawasan terpencil luar bandar.

Taklimat disampaikan Direktur Utama BAKTI, Anang Latif.

(Tan Sri Annuar Musa melakukan kunjung hormat ke Badan Aksesabilitas Telekomunikasi dan Informasi
(BAKTI), Kementerian Komunikasi Informatika (Kominfo) di Jakarta, Indonesia)

Perbincangan itu melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan BAKTI.

Turut mengiringi beliau adalah Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq, Pengerusi Interim MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Ketua Pegawai Eksekutif MCMC, Datuk Ali Hanafiah, Ketua Pegawai Operasi MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin dan ahli MCMC.

"Ini tentunya adalah pertemuan awal tentunya nanti kelak bisa (boleh) jadi sebuah tindak lanjut dari pertemuan buat pengalaman kami menggunakan teknologi satelit, tentunya bisa kami kongsi bagaimana Malaysia nanti melahirkan sebuah teknologi ke depan yang juga menggunakan satelit dan kami Kominfo juga belajar (dengan) Malaysia bagaimana mereka lebih advance (terlebih dahulu) dalam penyelesaian persoalan tadi" menurut Anang.

Annuar menghadiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Jakarta Indonesia bermula hari ini.

Dalam lawatan ini, beliau dijangka melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan beliau iaitu Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Johnny Gerrard Plate esok dan kunjung hormat ke atas Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno pada hari yang sama.

Media Baharu