fb fb fb fb fb

Jenazah Toh Puan Zurina Kassim dikebumikan di Makam Pahlawan Melaka

(Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka Keenam, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob bersama anak beliau, Datuk Mahmud
Mohd Khalil menabur bunga mawar di pusara isterinya, Toh Puan Zurina Kassim selepas selamat disemadikan
di Makam Pahlawan Masjid Al-Azim dekat Bukit Palah/ Foto BERNAMA)

BUKIT PALAH, 18 Ogos - Jenazah Toh Puan Zurina Kassim, isteri mantan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob selamat dikebumikan kira-kira pukul 10 malam tadi.

Jenazah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Al Azim, Bukit Palah, Melaka.

Upacara pengebumian dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Isteri, Datin Seri Munira M Yusop selain ahli keluarga serta kenalan Allahyarhamah.

Terdahulu jenazah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan di Masjid Saidina Ali, Bukit Katil kira-kira pukul 6.15 petang tadi.

Jenazah kemudian dibawa ke Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada pukul 7.30 malam bagi penghormatan terakhir yang dihadiri Tun Mohd Ali bersama Toh Puan Asmah serta Datuk Seri Sulaiman dan Datin Seri Munira.


(Jenazah Toh Puan Zurina Kassim tiba untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Makam
Pahlawan Masjid Al-Azim dekat Bukit Palah/ Foto BERNAMA)

Jenazah seterusnya dibawa ke Masjid Al Azim, Bukit Palah pada pukul 8.30 malam dan disembahyangkan sekali lagi dengan diimamkan oleh Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil bersama lebih 1,000 jemaah sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.

Selain jenazah Allahyarhamah Toh Puan Zurina, turut dikebumikan di Makam Pahlawan itu ialah mantan TYT Melaka kelima, Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin yang meninggal dunia pada tahun 2008 dan bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Datuk Abu Zahar Ithnin yang meninggal dunia pada tahun 2013.

Allahyarhamah yang berusia 78 tahun meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 10.10 pagi tadi.

Beliau yang dilahirkan di Duyong, Melaka pada 13 April 1944 telah mendirikan rumah tangga bersama Tun Mohd Khalil pada tahun 1965 dan dikurniakan 3 orang anak.

Suami beliau Tun Mohd Khalil dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka keenam pada tahun 2004 hingga 2020.

Yayasan Toh Puan Zurina yang ditubuhkan pada tahun 2015 dan berfungsi sebagai pusat rawatan hemodialisis percuma antara sumbangan Toh Puan kepada masyarakat yang memerlukan di Melaka.

Media Baharu