KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Program Pensijilan Jurutera Kecerdasan Buatan (AI) yang merupakan kolaborasi antara SG TVET Group Berhad dan Institut Kecerdasan Buatan Amerika Syarikat (USAII) menawarkan pensijilan berganda daripada USAII dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kepada graduan program tersebut.
Melalui program berkenaan, pelajar akan dilengkapi dengan kelayakan dan kepakaran diperlukan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja global yang semakin berkembang pesat.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, program terbabit turut membantu pelajar menguasai bidang AI dengan baik.
"Inisiatif ini adalah kerjasama untuk memastikan kita dapat membimbing pelajar-pelajar di Malaysia untuk belajar dan menjadi pakar dalam bidang AI. Apabila kita dapat melahirkan lebih ramai individu yang tahu bagaimana menggunakan teknologi ini, ia akan secara langsung membantu pekerjaan, perniagaan, dan kehidupan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program pensijilan AI USAII di ibu negara.
Pelajar program itu akan mendapat akses kepada latihan eksklusif dan penempatan pekerjaan yang ditawarkan oleh sepuluh syarikat terkemuka.