fb fb fb fb fb

Pertumbuhan ekonomi perlu menguntungkan semua - PM

FOTO LINKEDIN Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Pertumbuhan ekonomi suku tahunan yang kukuh dan lonjakan nilai tukar ringgit tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berpuas hati, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengingatkan bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia masih berdepan tekanan kewangan yang menjejaskan kualiti hidup mereka.

Menurut Anwar, ramai rakyat menantikan perubahan institusi dalam ekonomi. Namun, beliau menegaskan reformasi berkekalan memerlukan pelaksanaan teliti dan berperingkat.

"Tindakan tergesa-gesa berisiko membawa kejutan ekonomi tidak diingini dan tentangan masyarakat," katanya menerusi akaun LinkedIn rasminya.

Anwar menjelaskan ekonomi negara adalah kompleks dengan reformasi mempengaruhi pelbagai aspek yang bergerak termasuk kepentingan tertanam.

Sesetengah isu boleh diselesaikan melalui dasar tetapi ada yang memerlukan rayuan lebih mendalam kepada akal fikiran dan nilai moral masyarakat.

"Ekonomi semasa terlalu memuliakan kapitalisme tanpa sekatan membolehkan golongan kaya dan berkuasa terus menikmati keuntungan, manakala golongan miskin dan terpinggir terpaksa menanggung kesannya," tegas beliau.

Beliau memetik pepatah ahli falsafah Isaiah Berlin: "Total freedom for the wolves means death to the lambs," bermaksud kebebasan tanpa batasan untuk golongan kuat membawa penindasan dan kemusnahan kepada golongan lemah.

Mengimbas bukunya, The Asian Renaissance, Anwar menekankan produktiviti kunci kepada pertumbuhan ekonomi mampan. Beliau juga menegaskan dana awam mesti digunakan untuk membina modal insan melalui pendidikan dan penjagaan kesihatan, dengan usaha membasmi kemiskinan dan mewujudkan keadaan hidup lebih baik sebagai keutamaan utama.

Tambah Perdana Menteri, dalam ucapan perasmian Forum Megatrends Khazanah 2024 semalam, beliau mengambil kesempatan untuk membentangkan hujah dan fakta bagi penjelasan.

Anwar menjelaskan langkah Kerajaan MADANI untuk menyelaraskan tarif elektrik dan menyasarkan semula subsidi lama adalah antara reformasi dilaksanakan bagi memastikan golongan kaya dan industri besar membayar bahagian secara adil, manakala majoriti rakyat terus menikmati subsidi yang layak mereka terima.

"Kerajaan juga merangka pelbagai dasar untuk menangani kemerosotan alam sekitar dan masalah produktiviti rendah, termasuk Peta Jalan Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Namun, kejayaan rancangan ini bergantung kepada sokongan dan penyertaan sektor swasta," katanya.

Anwar menegaskan Malaysia kini berada di persimpangan kritikal, dengan pilihan untuk melangkah maju ke arah masa depan lebih makmur dan selamat atau berdepan risiko terdedah kepada proses merosakkan.

"Jalan ke hadapan mesti berorientasikan penyelesaian, mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan menangani ketidaksamaan, serta memupuk semangat tanggungjawab bersama dan inovasi," tegasnya.

SITI AISHAH MD ISA