BANGI, 8 Oktober - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.21 juta bagi melaksanakan Kempen Alam Sekitar KPKT tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata tujuh kempen telah dilaksanakan, termasuk Kempen Pasar Awam Bersih, Membasmi Infestasi Tikus dan Membasmi Hotspot Denggi.
"Peruntukan ini penting kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membaik pulih serta memperindahkan kemudahan awam yang rosak dan uzur, selain menjalankan aktiviti gotong royong dalam komuniti setempat," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Aiman Athirah Sabu pada Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) 2024 peringkat KPKT, di sini.
Selain itu, KPKT turut memperuntukkan RM150 juta bagi menaik taraf 1,000 tandas awam kepada tandas berstatus Tandas Awam PBT Bersih, Menawan dan Wangi (BMW), RM50 juta untuk menaik taraf pasar awam dan Gerai MADANI, serta RM60 juta untuk medan selera di bawah PBT.