VIENTIANE, 8 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini dekat Laos hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang akan bermula esok.
Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada pukul 8.37 malam waktu tempatan (9.37 malam waktu Malaysia).
Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Menteri Pertanian dan Perhutanan Laos Linkham Duangsavanth dan Ketua Pengarah Biro Perkhidmatan Diplomatik Laos Vilatsone Visonenavong.
Turut menyambut beliau ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Sidang kemuncak tersebut akan menyaksikan Perdana Menteri menghadiri pertemuan dengan tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Anwar dan pemimpin-pemimpin lain turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).
Pada hari terakhir sidang kemuncak, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Malaysia yang akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.