ISKANDAR PUTERI, 9 Mei- Kolaborasi segmen pendidikan Malaysia dan Maldives dilihat sebagai pelaburan yang mampu memberi lebih kemakmuran dan daya saing kepada Johor pada masa akan datang.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu dibuat menerusi kerjasama Educity Iskandar Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Repulik Maldives, melibatkan pertukaran ilmu pengetahuan dan pembangunan bakat pengajar dan pelajar.
"Saya berharap inisiatif tersebut dapat diteruskan dan diperluas, seterusnya menjamin Johor menjadi sebuah hub pendidikan.
Kolaborasi itu juga akan menghasilkan program pembangunan bakat komprehensif bagi meningkatkan kualiti pengajar Maldives," katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Pertukaran Dokumen antara Educity Iskandar Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Republik Maldives, di sini.
(Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap pada Majlis Pemeteraian Pertukaran Dokumen antara
Educity Iskandar Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Republik Maldives)
Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan terhadap sektor pendidikan sebagai usaha menyediakan asas dalam melahirkan modal insan bertaraf dunia.