fb fb fb fb fb

14 tindakan segera tangani banjir kilat di 25 'hotspot' -DBKL

(Datuk Seri Mahadi Che Ngah)

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merangka satu Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat KL 2022 sebagai langkah sementara bagi menangani isu banjir kilat di ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, DBKL sedang melaksanakan 14 tindakan khusus bagi menangani segera masalah banjir kilat di 25 kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti.

"Kerja-kerja ini sudah dimulakan di beberapa 'hotspot' seperti Jalan Brunei, Jalan Pudu, Jalan Changkat Tambi Dollah, hadapan Balai Polis Salak Selatan, Jalan Antoi, Jalan Pintasan Segambut, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Maharajalela dan Bulatan Dato Onn," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata ia akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan hingga Julai depan melalui Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

"Pelan tindakan terbabit akan berpandukan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

"Tindakan berkenaan termasuklah memastikan saluran keluar air larian ke longkang tepi jalan, tidak tersumbat atau terhalang. Kerja pemantauan dan pembersihan ini akan dilakukan setiap hari oleh pasukan khas DBKL.

"Seterusnya, menaik taraf 'scupper drain' (saluran masuk air) di semua kawasan 'hotspot', meliputi melebarkannya antara satu hingga dua kaki mengikut keperluan, membaik pulih serta memastikan kecerunan saluran dalam keadaan memuaskan.

Mengulas lanjut tindakan lain, beliau berkata pihaknya juga bertindak membina 'sump' baharu bagi menyalurkan air ke longkang tepi jalan sedia ada selain meletakkan guni pasir di kawasan rendah di tepi sungai.

Katanya, kerja-kerja berkenaan bermula Jumaat lalu itu turut memberi fokus melaksana kerja mengeluarkan kelodak di kolam takungan banjir di Lorong Maarof, Jalan Travers dan Universiti Malaya.

Beliau berkata, tindakan lain termasuk memastikan tangki 'On Site Detention' (OSD) milik persendirian berfungsi, memastikan sungai dan saluran air tidak terhalang sampah, akar pokok atau tumbuhan liar serta menggunakan lebih banyak 'stone mastic asphalt' (SMA), iaitu material resap air, untuk permukaan dan turapan jalan.

"Turut dilakukan ialah menjadikan aktiviti 'plogging' sebagai aktiviti rutin; menambah kawasan Zon Bebas Sampah di Kuala Lumpur; dan mengeluarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) amaran banjir kilat kepada semua pemilik telefon bimbit yang berada dalam kawasan ibu kota.

 

(DBKL sedang melaksanakan 14 tindakan khusus bagi menangani segera masalah banjir kilat
di 25 kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti/FOTO HIASAN BERNAMA)

"Tindakan lain termasuk menempatkan bilangan jentera dan petugas mencukupi di lokasi 'hotspot'; mengenal pasti laluan lencongan yang perlu dibina serta-merta bagi mengelakkan kenderaan terperangkap dalam banjir," katanya.

"Sebagai satu langkah tambahan lagi, tetapi kita anggar sebagai tindakan sementara yang nak disegerakan berbentuk satu pelan tindakan.

"Jadi ia perlu dianggap satu tindakan yang berterusan, walau belum sempurna lagi, namun pelan tindakan tebatan banjir kilat, diharap akan memberikan satu kesan yang lebih positif dan lebih baik dan beri kesan yang baik pada semua pengguna," ulasnya.

Sementara itu, katanya bagi langkah penyelesaian jangka panjang, pihaknya sudah melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi melaksanakan kajian berkaitan selama 12 bulan dan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

Ujarnya, DBKL sekali gus berharap seluruh warga kota dapat memberi kerjasama dalam pelaksanaan pelan tindakan itu, terutama mengelakkan pembuangan sampah merata-rata khususnya ke dalam sistem saliran.

Media Baharu