fb fb fb fb fb

Kerajaan perkenal perkhidmatan pengkomputeran bersepadu MyGovCloud

PUTRAJAYA, 9 Mei- Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) dinaik taraf kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (CLOUD) khusus untuk kegunaan seluruh agensi kerajaan.

Perkhidmatan bersepadu dikenali sebagai 'Government Hybrid Cloud' (MyGovCloud) diperkenal dengan menggabungkan perkhidmatan MyGovCloud@PDSA dan 'Public Cloud' oleh penyedia perkhidmatan awan (CSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif MyGovCloud seiring dengan inisiatif kelima di bawah Teras 1 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam tahun ini.

"Ia bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holisitk yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.

Pemilihan CSP dibuat selepas syarikat penyedia perkhidmatan dari dalam dan luar negara mengemukakan cadangan (RFP) sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak, dan hasil penilaian tersebut, kerajaan bersetuju melantik empat syarikat panel CSP bagi menyediakan perkhidmatan CLOUD yang terbaik, selamat dan terjamin," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis pemeteraian CFA dan pengenalan perkhidmatan MyGovCloud di Putrajaya.

(Datuk Seri Ismail Sabri pada majlis pemeteraian CFA dan pengenalan perkhidmatan MyGovCloud di Putrajaya)

Jelas beliau, empat syarikat CSP berkenaan ialah Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd, Google Cloud Malaysia Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

Empat syarikat Pembekal Perkhidmatan Terurus (MSP) pula terdiri daripada Cloud Connect Sdn Bhd, Enfrasys Solutions Sdn Bhd, Radmik Solutions Sdn Bhd dan Awantec System Sdn Bhd.

Datuk Seri Ismail Sabri juga berkata, penglibatan CSP dan MSP itu dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025.

"Pelaburan ini akan menjadi ‘tulang belakang’ kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN," katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, inisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP, serta dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa.






Media Baharu