fb fb fb fb fb

Jabatan Imigresen mansuh STO, lanjut waktu operasi pengeluaran pasport

PUTRAJAYA, 9 Mei - Jabatan Imigresen akan memansuhkan Sistem Temujanji Online (STO) dan melanjutkan waktu pengoperasian pejabat pengeluar pasport dan kaunter bermula hari Rabu ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, inisiatif itu dibuat bagi mengatasi kesulitan yang dihadapi rakyat Malaysia untuk mendapatkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

"Pejabat yang terlibat pelanjutan operasi sehingga pukul 10 malam ini ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pejabat Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, walau bagaimana pun bagi negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Perlis, waktu operasi akan dipanjangkan sehingga pukul 6 petang sahaja kerana permintaan di negeri-negeri ini tidak terlalu tinggi," kata beliau pada sidang media berkenaan permohonan PMA, di sini.

Sementara itu Khairul Dzaimee memaklumkan pihaknya merekodkan peningkatan PMA sebanyak 40% berbanding sebelum pembukaan sempadan negara.

Sejak 1 April sehingga 6 Mei lepas, sejumlah 165,449 PMA telah dikeluarkan.


(Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bercakap pada sidang media di Putrajaya)

Sementara itu, mana-mana pihak atau individu yang didapati bersalah melindungi tahanan Rohingya yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Relau di Pulau Pinang pada 20 April lalu bakal berdepan hukuman berat.

Khairul Dzaimee menegaskan,kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan penjara antara satu hingga lima tahun di bawah Seksyen 56 Akta Imigresen.

"Berdasarkan maklumat terkini masih ada lagi 60 orang yang bebas dan usaha-usaha mengesan sebenarnya dilakukan dan kami syak bahawa mereka ini telah pun berada di dalam komuniti masing-masing, kalau di sebelah utara mungkin berada di Pulau Pinang sana dan ada juga yang mungkin telah sampai ke kawsan Selayang, Kuala Lumpur," kata beliau.

Pihaknya sedang giat mengesan tahanan tersebut yang masih bebas.

Media Baharu