fb fb fb fb fb

GSF hampiri zon merah, protokol keselamatan diaktifkan

Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki hari ke-31 pelayaran dan kini berada dalam fasa genting apabila menghampiri zon merah menuju Gaza

SEPANG, 1 Oktober – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki hari ke-31 pelayaran dan kini berada dalam fasa genting apabila menghampiri zon merah menuju Gaza, menurut Jawatankuasa Induk Pusat Kawalan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC).

Jurucakapnya, Adibah Razali berkata flotila tersebut kini berada di zon kuning dan dijangka memasuki zon merah sekitar pukul 5 petang waktu Malaysia.

“Berdasarkan pemantauan pusat kawalan, terdapat beberapa kemungkinan bentuk sekatan atau cubaan pencegahan, khususnya pada waktu malam. Namun, persediaan turut dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan di siang hari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

0110 GSF ZON MERAH 2Jurucakap SNCC, Adibah Razali mengesahkan semua kapal yang membawa sukarelawan Malaysia berada dalam keadaan selamat dan masih meneruskan pelayaran ke Gaza

Menurut beliau, strategi keselamatan termasuk pergerakan kapal secara berkelompok selain pengaktifan protokol keselamatan. Sukarelawan juga telah menjalani latihan berulang kali bagi menghadapi sebarang situasi.

Adibah turut mengesahkan semua kapal yang membawa sukarelawan Malaysia berada dalam keadaan selamat dan masih meneruskan pelayaran ke Gaza.

“Setakat ini, kesemua rakyat Malaysia dilaporkan selamat dan mereka kini sedang berehat di kapal masing-masing,” jelasnya.

Tambah beliau, butiran lanjut mengenai perkembangan malam tadi akan diumumkan oleh Ketua Pengarah SNCC dalam sidang media rasmi pada pukul 3 petang ini.

Misi GSF disertai puluhan kapal dari pelbagai negara dengan matlamat menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN