BUTTERWORTH, 1 Oktober - Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini mempunyai kuasa undang-undang untuk menyemak kad pengenalan pengguna bagi memastikan tiada unsur manipulasi dalam pemberian subsidi petrol RON95.
Sebelum ini, hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kuasa berkenaan. Namun, selepas pelaksanaan Program Budi Madani RON95, anggota KPDN turut ditempatkan di lapangan.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, objektif pemantauan tersebut adalah bagi memastikan subsidi RON95 benar-benar sampai kepada golongan sasaran, sekali gus mengekang penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Semua pegawai penguat kuasa KPDN mempunyai kuasa bawah peruntukan undang-undang untuk memeriksa kad pengenalan pengguna. Walau bagaimanapun, pemeriksaan hanya dilakukan apabila diperlukan sebagai langkah kawalan dan pencegahan munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas operasi pemantauan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua, Butterworth.
Dalam siri pemantauan di 15 stesen minyak seluruh Pulau Pinang, beliau memaklumkan proses jual beli minyak subsidi RON95 berjalan lancar, meskipun terdapat sedikit kekangan yang berjaya diatasi.