PUTRAJAYA, 1 Oktober - Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S) dilancarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai langkah konkrit untuk mengurangkan birokrasi bagi mempercepat proses pertukaran penempatan, sekali gus menjaga kebajikan warga kerjanya.
Fasa pertama bermula hari ini dan dibuka kepada skim jururawat di bawah Bahagian Kejururawatan.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan rasmi iaitu https://p3s.moh.gov.my.
"Sebelum ini, proses pertukaran pegawai KKM dilaksanakan secara manual. Disebabkan jumlah permohonan yang tinggi, prosesnya sering mengambil masa panjang dan mendorong penggunaan saluran tidak rasmi.
"P3S kini menjadi platform rasmi untuk mempercepat padanan, memperkemas aliran kerja serta menjadikan proses lebih telus dan adil tanpa mengubah peraturan kelulusan sedia ada," menurut kenyataan itu lagi.
Menerusi P3S, pentadbiran di peringkat Pejabat Tanggungjawab (PTJ) hanya perlu mengesahkan kelayakan pegawai dan surat penempatan baharu akan dijana secara automatik selepas padanan berjaya dibuat.
Pegawai terlibat perlu melapor diri serentak di lokasi penempatan baharu pada tarikh kuat kuasa rasmi.
Kenyataan itu turut memaklumkan, selepas skim jururawat, P3S akan diperluas secara berfasa mulai 2026 kepada skim Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi dan Penolong Pegawai Farmasi.
Pelaksanaan P3S mencerminkan komitmen KKM dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan warga kerjanya, mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan pentadbiran.
Ia sejajar aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta, terutamanya dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.