fb fb fb fb fb

BUDI95: Ringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah, sederhana

Sistem BUDI95 memudahkan pengguna menebus subsidi/FOTO HIASAN

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana terus memberi reaksi positif terhadap pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Hasil tinjauan RTM di beberapa stesen minyak di sini mendapati, pengguna menyifatkan penetapan harga petrol RON95 sebanyak RM1.99 seliter menerusi inisiatif itu, benar-benar membantu meringankan beban kewangan mereka.

Antara yang menyambut baik inisiatif ini ialah Azlina Mamat, peniaga yang banyak menggunakan bahan api tersebut kerana urusan perniagaannya melibatkan penggunaan kenderaan setiap hari.

"Saya berniaga, jadi banyak pakai minyak (petrol RON95), kadang-kala selang sehari kena isi minyak," katanya yang turut berterima kasih atas langkah prihatin kerajaan melaksana BUDI95.

Seorang lagi pengguna, Muhamad Muhaimin Abd Rahman berkata, penjimatan yang diperoleh dapat digunakan untuk tujuan penting lain.

Shamsudin Abdullah pula menyifatkan sistem BUDI95 memudahkan pengguna menebus subsidi berkenaan.

"Alhamdulillah, prosesnya memudahkan pengguna untuk menikmati kemudahan (subsidi) yang disediakan oleh kerajaan," jelasnya.

Turut berkongsi pandangan sama ialah Azran Abdul Aziz, yang mengakui proses penebusan subsidi berjalan lancar.

"Setakat ini mudah bagi saya kerana kad pengenalan berfungsi sepenuhnya untuk melakukan transaksi," ujarnya.

BUDI95 dilaksana secara berperingkat mulai 27 September lalu membabitkan anggota tentera dan polis, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta warganegara Malaysia yang layak.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR