fb fb fb fb fb

Degil! Kilang e-sisa haram di Gurun diserbu lagi

FOTO JAS KEDAH

SUNGAI PETANI, 1 Oktober - Sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Gurun, Bedong yang pernah beberapa kali diserbu dan dikenakan tindakan mahkamah, sekali lagi diserbu selepas dikesan berdegil menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual tanpa lesen.

Dalam operasi bersepadu semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dengan kerjasama Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) menemukan kira-kira 30 metrik tan e-sisa yang disimpan di dua blok berasingan premis tersebut.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kes disiasat mengikut beberapa seksyen bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) antaranya Seksyen 18(1), Seksyen 34A(7) dan Seksyen 34B(1), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10 juta serta penjara mandatori maksimum lima tahun.

"JAS akan terus mempertingkat pemantauan bagi mengesan sebarang aktiviti kitar semula haram yang berpotensi mencetuskan pencemaran dan menjejaskan kesihatan awam," tegasnya dalam satu kenyataan.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman web http://eaduan.doe.gov.my.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE