fb fb fb fb fb

Kod tatakelakuan bakal jadi panduan platform media sosial

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 September- Kod tatakelakuan bagi platform media sosial dijangka selesai dibangunkan pada November ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kod tatakelakuan yang akan dibangunkan itu akan menjadi panduan kepada platform media sosial agar tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang sedia ada di Malaysia untuk terus kekal beroperasi.

"Pusingan pertama perbincangan telah dimulakan pada 3 September.

"Kita jangka perbincangan ini akan berterusan dan menjelang hujung Oktober atau November, kod ini akan dibangunkan dan di situ akan menjadi panduan kepada setiap platform supaya mereka tahu sekiranya berlaku pelanggaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di sini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata sebanyak RM2.5 bilion daripada RM4.5 bilion perbelanjaan pengiklanan (adex) tahunan disalurkan terus ke platform media sosial.

Fahmi berkata keadaan itu memberi kesan kepada organisasi media sehingga menyebabkan pengurangan tenaga kerja.

"Kebanyakan organisasi media yang saya temu berkata mereka membuat penilaian kira-kira RM2.5 bilion ke media sosial secara langsung dan tidak lagi melalui organisasi media.

"Ini telah menjejaskan banyak organisasi media dan akibatnya ini telah menyebabkan ramai wartawan berdedikasi dan berpengalaman serta lama berkhidmat terpaksa diberhentikan. Ini sangat-sangat merisaukan," kata Fahmi.

Beliau berkata kerajaan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk campur tangan, sebaliknya menggalakkan organisasi media untuk mengadakan perbincangan dengan platform media sosial bagi menangani isu berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM