fb fb fb fb fb

Ini bukan ikan tenggiri tidak seperti ditetapkan MARA - Dr. Asyraf

Gambar ikan dimuat naik Dr Asyraf/Foto FB Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR, 6 September – “Menu di dinding menunjukkan makanan sepatutnya.. petang ini para pelajar akan makan malam ikan tenggiri, tapi bila saya tengok ini bukan ikan tenggiri.”

Itu pertanyaan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada pengusaha Dewan Selera sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak menerusi perbualan telefon ketika beliau menerjah Dewan Selera berkenaan.

Dr Asyraf mendapati menu disediakan adalah ikan goreng jenis lain; lebih murah berbanding menu ditetapkan pihak MARA.

Setiausaha Agung UMNO itu turut berang dengan jawapan balas pengusaha tersebut dan berkata akan mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikan kontrak perkhidmatan. 

“Kita boleh tahan ke kalau cicak nak berak,” jawab Kontraktor Dewan Selera tersebut. Memang confirm akan saya ambil tindakan tegas termasuk memberhentikan kontrak dan tindakan mahkamah pada kontraktor yang ambil sikap sambil lewa hingga mencetuskan risiko kesihatan kepada anak-anak pelajar,” menurut status Facebook Dr Asyraf itu.

Menurutnya, beliau mengambil peluang 'terjah' ke Dewan Selera MRSM itu bagi meninjau keadaan penyediaan makanan, setelah beberapa hari lalu menerima laporan terus daripada ibu bapa pelajar mengenai kes keracunan makanan melibatkan seramai 31 orang pelajar pada 30 Ogos sehinggakan ada yang terpaksa dikejarkan ke hospital.

Ketika terjahan dilakukan (semalam), beliau mendapati beberapa perkara tidak mengikut piawaian ditetapkan pihaknya.

“Antaranya pekerja tidak mencukupi, tidak mengikut menu harian yang ditetapkan serta keadaan kebersihan dapur yang berada di tahap yang tidak memuaskan,” menurut status itu.

“Rupa-rupanya ini bukan kes pertama yang berlaku, ketika berjumpa dengan pelajar-pelajar yang menjadi mangsa keracunan makanan ini, mereka memaklumkan bahawa tahun lepas juga seramai 50 orang terkesan dengan isu keracunan makanan ini pada Oktober lepas.

“Juga mereka berkongsi kepada saya gambar-gambar ulat dalam nasi, sayur dan serangga dalam hidangan yang amat mendukacitakan saya”, kata Dr Asyraf.

Beliau turut menegaskan tidak akan sesekali berkompromi dengan perkara tersebut dan tegas terhadap isu yang melibatkan kesihatan pelajar.

Justeru beliu memberi tempoh kepada pengusaha dewan makan tersebut sehingga esok (hari ini) untuk menyelesaikan isu-isu ini atau tindakan selanjutnya akan dikenakan.

“Kesihatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak MRSM adalah perkara yang amat saya titikberatkan dan tiada kompromi dalam hal ini.

“Selagi saya menjadi Pengerusi MARA, saya akan pastikan perkara-perkara ini diambil berat oleh pegawai-pegawai MARA demi kebajikan dan keselesaan anak-anak MRSM,” tegasnya.

MAT YUNUS BIN SABRI