fb fb fb fb fb

JPJ tambah baik perkhidmatan kaunter mulai Isnin

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan kualiti penyampaian perkhidmatan di kaunter mulai Isnin ini / Foto Bernama

SEBERANG JAYA, 6 September - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan kualiti penyampaian perkhidmatan di kaunter mulai Isnin ini.

Langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan pelanggan dan masa menunggu yang lama.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah penyediaan pegawai pemudah cara atau JPJ Assist bagi membantu pelanggan melakukan urus niaga yang boleh dibuat secara dalam talian.

Selain itu, JPJ turut menggalakkan pelanggan untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ serta portal MySIKAP.

"Penambahbaikan Sistem JPJeQ juga akan dilaksanakan untuk membolehkan pelanggan mendapatkan nombor giliran melalui imbasan Kod QR dan boleh menunggu di mana-mana sahaja sehingga nombor mereka dipanggil. Pelanggan akan menerima notifikasi secara terus melalui telefon pintar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau urusan di kaunter JPJ Pulau Pinang, di sini.

Tambah Aedy Fadly, JPJ juga akan meminda Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk urusan pelesenan kenderaan dan pemandu yang melibatkan dokumen atau borang fizikal dengan menggantikan dokumen tersebut kepada e-dokumen yang boleh dilengkapkan lebih awal oleh pelanggan sebelum berurusan di kaunter JPJ.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN