fb fb fb fb fb

Kod Etika Wartawan Malaysia baharu pacu media beri maklumat tepat, sahih

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 20 Februari- Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu dilancarkan ke arah memacu peranan media sebagai sumber dipercayai selain memberi maklumat tepat dan sahih tentang keadaan semasa negara rakyat kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Manual kod etika berkenaan diperhalusi oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) agar lebih relevan dengan penggunaan semasa.

Lapan prinsip digariskan seiring perkembangan teknologi, merangkumi nilai yang perlu digalas wartawan termasuk peranan sebagai suara masyarakat majmuk ke arah mendukung pembentukan masyarakat sejahtera dan berinformasi. 

"Pihak media berperanan penting sebagai mata dan telinga yang boleh dipercayai dalam memberikan maklumat tepat dan sahih tentang keadaan semasa negara.

"Kod Etika Wartawan Malaysia ini merupakan versi baharu yang telah diteliti semula oleh pihak JaPen, untuk menggantikan Kod Etika yang telah diguna pakai sejak 35 tahun lalu," katanya dalam ucapan melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia di sini.

Selain itu, wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Fahmi berkata kod etika versi baharu itu dimurnikan dengan penglibatan wakil wartawan serta organisasi media, dan mengambil kira peranan pengamal media tanpa mengganggu gugat, mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara wartawan dalam membuat pelaporan.

"Namun demikian, tidak ada kebebasan mutlak bagi mana-mana individu atau organisasi untuk membuat kenyataan yang tidak benar. Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam," katanya.

Bagaimanapun Fahmi turut mengingatkan wartawan dan organisasi media untuk bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat.

Sementara itu, Fahmi berkata Kod Etika Wartawan Malaysia juga adalah dokumen rasmi sebagai punca kuasa dan rujukan bagi tujuan pengeluaran serta pembatalan kad perakuan media.

Kad perakuan media yang dikeluarkan JaPen adalah dokumen pengenalan diri bagi pengamal media daripada agensi dan syarikat media berdaftar.

"Kad perakuan media digunakan oleh wartawan dan organisasi media untuk membuat pelaporan acara rasmi kerajaan," katanya.

Fahmi berkata setakat 16 Februari lepas 9,750 pengamal media berdaftar dengan kad perakuan media JaPen yang melibatkan 152 agensi media.

Empat daripada agensi media itu merupakan media rasmi kerajaan, 38 media tempatan, 60 media dalam talian dan 50 media antarabangsa.

"Saya berharap warga media terus mendedikasikan dunia kewartawanan ke arah yang positif demi kemaslahatan rakyat dan negara," katanya.

Kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebebasan pengamal media untuk menyampaikan maklumat dan pemberitaan tanpa halangan daripada pihak berkepentingan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI