KUALA LUMPUR, 20 Februari- Kutipan khas Jumaat untuk Palestin, Tabung Musaadah hantar 100 lori tangki air bersih ke Gaza.
Bagi menzahirkan solidariti berpanjangan kepada Rakyat Palestin, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya akan melakukan kutipan khas Jumaat di masjid-masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan pada 23 Februari ini.
"Melalui sumbangan Tabung Musaadah, pihaknya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pertubuhan Kasih Insan juga dalam usaha menghantar 100 buah lori tangki air bersih ke Gaza, Palestin," kata kenyataan itu.
Tambahnya, kutipan khas Jumaat itu juga adalah bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
JAWI mengajak orang ramai untuk menyumbang melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad dengan nama penerima Masjid Wilayah Persekutuan, 14023010052811.