KUALA LUMPUR, 20 Februari- Semua pihak berkepentingan dalam bidang kewangan Islam digesa memperkukuh kerjasama demi merealisasikan visi masa depan ke arah ekonomi yang mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan peranan dimainkan ahli akademik, institusi kewangan dan badan kawal selia.
Setiap dasar berkaitan perlulah menyokong inovasi dalam kewangan Islam, bukan sekadar memenuhi untuk keperluan undang-undang semata-mata.
"Ahli akademi perlu terus menongkah sempadan pengetahuan, menyelaras dimensi teori dan etika ekonomi Islam, selain membangunkan aplikasi praktikal sejajar prinsip MADANI."
"Institusi kewangan juga mesti menyepadukan prinsip MADANI dalam membuat keputusan bagi memastikan akses saksama kepada produk mereka," kata Datuk Seri Anwar menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam berlangsung di ibu negara.
Penganjuran kali ke-15 yang bertemakan 'Memacu Agenda Ekonomi Kemanusiaan yang Mampan", menghimpunkan hampir 500 peserta dari dalam dan luar negara.