fb fb fb fb fb

Klinik kesihatan Bandar Botanik beroperasi setiap hari, atasi kesesakan HTAR

(Dr Zaliha ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan KKM di Putrajaya)

PUTRAJAYA, 27 Mac- Klinik Kesihatan (KK) Bandar Botanik di Klang, Selangor kini beroperasi setiap hari, termasuk hari kelepasan am.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, ia menjadi projek rintis bagi menangani kesesakan di jabatan kecemasan dan trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)

Pelaksanaannya telah pun bermula Sabtu lalu.

Ia sekali gus bagi menangani kehadiran pesakit kategori zon hijau iaitu mereka yang mengalami gejala ringan dan kes bukan kecemasan di HTAR.

Melalui projek rintis itu, waktu operasi KK Bandar Botanik dipanjangkan dari 8 pagi hingga 9.30 malam dengan waktu menerima pendaftaran pesakit terhad hingga 9 malam.

“Justeru, saya berharap pesakit yang hanya mempunyai gejala ringan atau kes bukan kecemasan tidak lagi berkunjung ke jabatan kecemasan dan trauma HTAR sebaliknya hadir ke KK Bandar Botanik mengikut waktu yang ditetapkan.

“Perkara ini kerana sepatutnya jabatan kecemasan dan trauma, HTAR merawat kes kecemasan yang serius dan kritikal,” kata Dr Zaliha ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.

Dr Zaliha dalam amanat tahun baharu 2023 sebelum ini mengumumkan pelaksanaan pelanjutan waktu di KK tertentu bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu lama di jabatan kecemasan dan trauma hospital.

Waktu pengoperasian KK secara umumnya bermula 8 pagi hingga 5 petang dan KK tidak beroperasi pada Sabtu dan Ahad serta hari kelepasan am.

Dr Zaliha berkata perubahan pola kedatangan pesakit dari jabatan kecemasan dan trauma HTAR ke KK Bandar Botanik akan dipantau dalam tempoh pelaksanaan projek rintis ini.

“Ini bagi membolehkan KKM menentukan strategi pelaksanaan lebih baik bagi menangani isu kesesakan di jabatan kecemasan dan trauma HTAR,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan dokumen Carbon Neutral Healthcare Facilities Blueprint bagi memacu KKM dalam menyediakan fasiliti kesihatan yang selamat, mesra alam sekitar, berdaya tahan dan kalis masa hadapan.


(Dr Zaliha (tengah) melancarkan dokumen Carbon Neutral Healthcare Facilities Blueprint)

Media Baharu