KUALA LUMPUR, 7 Julai –Aspek kebersihan, keindahan bandar dan keselamatan menjadi tumpuan utama persediaan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 bermula esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kesemua aspek tersebut kini siap siaga untuk menjadi tumpuan sepanjang penganjuran pelbagai mesyuarat dan sidang bertaraf antarabangsa, terutama melibatkan negara ASEAN.
“Sebagai antara lokasi utama bagi penganjuran program ASEAN, Kuala Lumpur turut memainkan peranan penting dalam jawatankuasa logistik mesyuarat ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital Wilayah Persekutuan 2025, hari ini.
Menurut beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah digerakkan sepenuhnya dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan kebersihan dan kelancaran bandar berada pada tahap terbaik.
Katanya, usaha tersebut memerlukan penglibatan semua pihak termasuk masyarakat dan sektor swasta.
“Usaha kebersihan ini turut melibatkan komuniti, NGO, pihak hotel, sukarelawan dan pelajar universiti, sebagai sebahagian daripada budaya tanggungjawab bersama terhadap imej negara,” katanya.
AMM ke-58 merupakan acara tahunan penting yang menghimpunkan 10 Menteri Luar negara anggota ASEAN serta rakan dialog seperti China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Australia dan Kesatuan Eropah.