AYER KEROH, 7 Julai -Buku Poket MADANI panduan menyeluruh untuk memahami kerangka Malaysia MADANI sekaligus mengetengahkan inisiatif utama kerajaan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penjawat awam juga boleh menjadikan buku poket itu sebagai panduan untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan kepada orang ramai.
Tegas beliau, penjawat awam khususnya penjawat awam negeri Melaka perlu peka dengan kesahihan maklumat yang disampaikan.
"Saya harap semua penjawat awam dapat memahami isi kandungan buku ini supaya dapat disampaikan kepada rakyat, khususnya pencapaian yang dibuat oleh kerajaan sekarang yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Maklumat yang tepat perlu disampaikan kepada rakyat kerana mereka terdedah dengan maklumat-maklumat yang tidak menepati pencapaian kerajaan di media sosial, jadi buku ini amat penting," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Taat Setia MADANI Peringkat negeri Melaka dan Peluncuran Buku Poket MADANI di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Buku itu diterbitkan dengan 6 bahasa merangkumi Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazan.