KUALA LUMPUR, 7 JULAI –Inisiatif Dapur Digital Wilayah Persekutuan berjaya mencatatkan jumlah jualan melebihi RM1 juta hanya dalam tempoh setahun pelaksanaannya.
Sekali gus, membuktikan keupayaan golongan B40 menjana pendapatan secara berdikari apabila diberi ruang, latihan dan sokongan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, kejayaan itu direkodkan menerusi pelaksanaan lima Dapur Digital perintis di lima kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada tahun 2024.
Pencapaian itu menjadi asas kepada peluasan fasa kedua inisiatif itu di 10 lagi PPR tahun ini.
"Projek berkenaan turut menerima sokongan daripada Kementerian Kewangan (MOF), apabila dalam ucapan Belanjawan 2025 yang lepas, kita telah diperuntukkan tambahan sebanyak RM5 juta bagi memperkukuh pelaksanaan Dapur Digital ini.
Justeru, saya berpandangan bahawa inisiatif ini wajar diperluas bagi memberi manfaat yang lebih menyeluruh," katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital Wilayah Persekutuan 2025, di sini.
Tambah Datuk Seri Dr. Zaliha, Dapur Digital merupakan antara komponen utama Program Usaha Jaya Insan (PUJI), iaitu program ikonik Wilayah Persekutuan bagi memerangi kemiskinan bandar secara holistik.
Program tersebut turut dilaksanakan dengan kerjasama syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri.
"Dapur Digital kini tidak lagi terhad sebagai dapur komuniti semata-mata, malah berperanan sebagai pusat pemprosesan makanan, ruang niaga e-dagang dan hab komuniti setempat.
Pendekatan itu menyokong agenda pembangunan menyeluruh bukan sahaja dari sudut fizikal, malah pembangunan insaniah dan kapasiti komuniti," katanya lagi.