fb fb fb fb fb

KKR di laluan tepat, pastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak siap tahun ini

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 8 Februari- Kementerian Kerja Raya (KKR) berada di laluan tepat untuk memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya tahun ini.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, projek tersebut kini telah pun mencapai 98.91 peratus.

"Sedikit lagi yang perlu dibuat perubahan kepada reka bentuknya, ini perlu kerana masalahnya tanah di lokasi itu. Itulah yang boleh dikatakan mengapa kita belum mencapai 100 peratus lagi. Jadi keseluruhannya sepertimana yang telah saya sebutkan tadi 98.91 peratus telah siap di Sarawak", katanya dalam sidang media Majlis Amanat Tahun 2024 serta Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kerja Raya di ibu negara.

Datuk Seri Alexander turut memaklumkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A hampir 87 peratus siap bagi 15 pakej kerja yang sedang berjalan. Manakala, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Banting dan Taiping pula, bakal dibuka sepenuhnya Mac ini.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya akan melaksanakan sebanyak 233 projek pada tahun ini.

Beliau berkata kesemua projek melibatkan 38 projek baharu, 181 projek sambungan dan 14 projek penyenggaraan.

"Peruntukan penyenggaraan yang diluluskan menerusi Belanjawan 2024 adalah sebanyak RM2.8 bilion dan jumlah ini adalah pertambahan RM1 bilion berbanding tahun lalu.

"Kementerian Kewangan juga telah berbesar hati meluluskan sejumlah RM30 juta untuk diagihkan kepada 115 Jurutera Daerah dengan RM200,000 setiap daerah bagi menangani segera aduan kerosakan kecil dan luar jangka di jalan persekutuan", katanya.

"Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan sebanyak RM 100 juta bagi menyenggara dan menggantikan lampu jalan kepada jenis LED yang dijangka dapat memberikan penjimatan bil elektrik sebanyak 60 peratus.

Dalam pada itu, Datuk Seri Alexander turut menyatakan aplikasi MyJalan akan diperluaskan penggunaannya. Selain menjadi platform aduan setempat, aplikasi tersebut turut berperanan sebagai platform pemantauan terhadap pencapaian kerja-kerja konsesi.

Katanya, arahan telah diberikan kepada Bahagian Pengurusan Maklumat KKR untuk mengintegrasikan maklumat setiap konsesi yang menyelenggara jalan agar kerja dan prestasi konsesi dapat dipantau melalui aplikasi aduan MyJalan.

"Saya percaya dengan keberadaan teknologi sedia ada dan kecanggihan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Internet of Things (IOT) dan Virtual Reality (VR) yang semakin rancak mendominasi dunia, aplikasi aduan MyJalan ini mampu diperluaskan dan diperkasakan lagi fungsi dan keupayaannya dalam membantu mengoptimakan isu penyelenggaraan dan pemantauan jalan seluruh Malaysia di peringkat awam mahupun swasta", katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun 2024 serta Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementeri Kerja Raya di ibu negara.

ROSLINA BINTI DIN