IPOH, 3 Disember- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menggunakan teknologi bahan turapan dikenali sebagai campuran khas atau specialty mix bagi kerja penyelenggaraan jalan raya, bermula tahun depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bertujuan menambah baik daya tahan struktur, selain memanjangkan jangka hayat jalan raya serta mengatasi isu kerosakan jalan khususnya di kawasan kerap digunakan kenderaan berat.
Perkara itu telah dipersetujui dalam Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Supaya jalan kita tahan lama dan penyelenggaraan berkurang. Ketika ini kerajaan berbelanja berbilion ringgit untuk penyelenggaraan dalam tempoh setahun.
"Alangkah baiknya jika segala ini kita laksanakan segera supaya penyelenggaraan dapat dikurangkan dan pada masa sama keadaan jalan lebih baik dan kurang berlubang," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang K2 Bitumen Sdn Bhd di sini.