PUTRAJAYA, 10 Januari - Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan hubungan bersama pelbagai hala dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam meningkatkan pembaharuan penjagaan kesihatan di negara ini.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata adalah perlu untuk meningkatkan kerjasama sedia ada terutama dalam kesihatan digital, pembaharuan penjagaan kesihatan dan pembiayaan serta pengurusan penyakit berjangkit.
Katanya, perkara itu telah dibincangkan semasa kunjungan hormat Wakil WHO dan Ketua Pejabat Negara WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Dr Rabindra Abeyansinghe, semalam.
“Di sinilah WHO boleh terus menyediakan bantuan teknikal untuk meningkatkan kapasiti serta peluang untuk menyerlahkan peranan kepimpinan Malaysia dalam isu kesihatan serantau dan global.
“Ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tindakan segera yang diperlukan bagi memastikan penduduk kekal sihat di samping memastikan penjagaan kesihatan yang mampan dalam jangka masa panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Tambah Dr. Zaliha, bagi meneruskan komitmen Malaysia, perbincangan itu turut menyentuh mengenai mengurangkan penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan diet, menangani beban berganda kekurangan zat makanan dan meningkatkan status pemakanan.
“Kementerian prihatin terhadap kesihatan global dan pengurusan NCD melalui pelbagai program berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau juga berkata, pada masa ini kementerian memberi tumpuan kepada pembangunan Kertas Putih Kesihatan merangkumi kenyataan kolektif dengan tujuan untuk menjadi sistem kesihatan yang mampan dan berdaya tahan melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat.
Dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO ke-152 akan datang, Dr Zaliha berkata KKM akan mencadangkan draf resolusi mengenai ‘Sains Tingkah Laku Untuk Kesihatan Lebih Baik’ yang diadakan pada 30 Januari hingga 7 Februari di Geneva, Switzerland dimana Malaysia adalah Naib Pengerusi Pertama Lembaga Eksekutif itu.