PUTRAJAYA, 6 Jun- Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menitikberatkan usaha memperkukuhkan keselamatan makanan negara terutamanya melibatkan pelajar sekolah.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, ianya termasuk memastikan makanan yang dihasilkan bersih dan selamat serta mematuhi standard keselamatan makanan yang telah ditetapkan Akta Makanan 1983.
"Kita ingin pastikan bahawa kesedaran untuk memastikan makanan tersebut adalah selamat perlu dititik beratkan dan perlu menguar-uarkan setiap peringkat umur.
"Terutama sekali di peringkat sekolah apatah lagi kita nak memastikan bahawa amalan ini dapat dipupuk dari kecil lagi ," katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Jelajah Sambutan Keselamatan Makanan Sedunia 2024 di sini.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan memberi penerangan kepada sekolah-sekolah untuk memastikan makanan yang diambil pelajar bersih dan selamat.
Sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu daripada 10 orang jatuh sakit setiap tahun akibat penyakit bawaan makanan.
Manakala lebih 200 penyakit di dunia adalah disebabkan oleh makanan yang tercemar.
Hari Keselamatan Makanan Sedunia disambut setiap 7 Jun yang merupakan acara tahunan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan makanan yang boleh memberi kesan langsung terhadap kesihatan pengguna.