NIBONG TEBAL, 6 Jun- Kementerian Komunikasi tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan menangkis penyebaran berita palsu semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Kementerian itu memang melakukan pemantauan di semua platform media sosial dalam usaha menangani pelbagai berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika musim pilihan raya.
"Kita sudah mempunyai pasukan yang akan memantau penyebaran berita palsu di pelbagai peringkat termasuk Kementerian Komunikasi, badan (agensi) kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan jabatan kerajaan seperti Jabatan Penerangan.
"Insya-Allah kita akan ada satu jawatankuasa (khas) PRK Sungai Bakap nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Komuniti MADANI Parlimen Nibong Tebal di Sungai Bakap, di sini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan hari penamaan calon pada 22 Jun manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada PAS pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.