KUALA LUMPUR, 6 Jun-Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited menyediakan ekosistem keusahawanan lengkap bagi memenuhi keperluan industri.
Ia termasuk program kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi Latihan Pensijilan Halal kepada usahawan Bumiputera.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usahawan perlu merebut peluang disediakan memandangkan potensi besar pasaran produk halal di peringkat tempatan dan global.
"MARA memperuntukkan RM5 juta bagi maksud membantu usahawan-usahawan dalam mendapatkan pensijilan halal. Ada dua dimensi pensijilan ini, pertama proses untuk mendapatkan persijilan itu sendiri, yang kedua kos kadangkala perlukan pengubahsuaian ataupun menaiktaraf premis mengikut piawaian ditetapkan oleh JAKIM",katanya demikian ketika ditemui pada Seminar Pembangunan Produk Halal Usahawan Mara disertai 280 usahawan di sini.
Sementara itu, rata-rata peserta menyambut baik inisiatif disediakan Mara.
Salah seorang usahawan yang ditemui, Muhammad Ashraf Ahmad Subri menyifatkan program pensijilan halal memberi manfaat besar kepada para usahawan selain membuka pasaran luas di peringkat antarabangsa.
"Program halal daripada MARA memberi manfaat yang besar pada produk dan secara tidak langsung kepada syarikat kami. Jadi bila kita mendapat geran halal yang telah disediakan untuk syarikat,peluang dari segi pasaran itu lebih meluas dan tidak fokus kepada tempatan sahaja", katanya ketika ditemui RTM.