fb fb fb fb fb

25 sungai di enam negeri dikategorikan tercemar

Datuk Seri Fadillah Yusof

PUTRAJAYA, 6 Jun- Kira-kira 25 daripada keseluruhan 672 sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) di negara ini berada dalam kategori tercemar.

Timbalan Perdana Menteri yang juga yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sungai tercemar itu dikesan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak membabitkan pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat.

Pencemaran itu berpunca daripada aktiviti perindustrian, loji kumbahan, perbandaran, pertanian, perumahan serta penternakan.

"Yang dipantau oleh jabatan dalam sekitar ada 672 batang sungai yang dipantau yang kategori bersih ada 72 peratus iaitu 486 sungai yang kategori sederhana ada 161 sungai iaitu 24 peratus dan yang tercemar ada empat peratus iaitu 25 sungai," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Jawatankuasa Khas itu berperanan dalam memastikan tindakan pengurusan pelaksanaan strategi meningkatkan kualiti air sungai diambil secara bersepadu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI