fb fb fb fb fb

KKM terima laporan kajian AGC cadangan pindaan akta babitkan cubaan bunuh diri

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

PUTRAJAYA, 28 September- Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menerima laporan kajian Jabatan Peguam Negara (AGC) tentang cadangan pindaan Akta 309 Kanun Keseksaan membabitkan moratorium iaitu penangguhan terhadap pendakwaan dan sabitan kesalahan cubaan bunuh diri.

Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, hasil kajian berkenaan akan dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, menerusi hasil perbincangan tersebut, KKM akan menyemak semula memorandum berkaitan cadangan pelaksanaan moratorium tersebut sebelum dibawa semula ke mesyuarat Jemaah Menteri.

"Sekarang ini kita perlu dapat pandangan daripada pihak polis dan KDN.

Pada waktu saya bawa isu ini nampak seperti KDN tidak berapa setuju.

"Jadi kita tengok dan teliti dulu sama ada mereka boleh dapatkan sokongan pihak berkepentingan dalam  usaha kita 'decriminalization' Seksyen 309 Kanun Keseksaan atau sebaliknya, selepas menerima pandangan AGC.

"Sebab dengar masa mesyuarat berkaitan pun hujah tidak berapa kukuh sangat bagi pihak saya sebagai menteri kesihatan," katanya.

(FOTO HIASAN/BERNAMA)

Tambahnya, keputusan untuk membawa pindaan akta tersebut pada sidang Dewan Rakyat akan datang bakal diputuskan Jemaah Menteri selepas memorandum tersebut dibincangkan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Agihan Dana Kesihatan Mental Kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Putrajaya.

Dana berjumlah RM6.2 juta itu diagihkan kepada 52 NGO kesihatan mental yang bergiat aktif dalam melaksanakan aktiviti kesihatan mental untuk masyarakat.

Media Baharu