CYBERJAYA, 18 Ogos- Kerajaan sedia mempertimbang cadangan pemberian bantuan tambahan RM100 secara sekali bayar kepada golongan mahasiswa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu bagi membantu golongan tersebut berdepan cabaran kos sara hidup di peringkat institusi pengajian.
"Saya telah meluluskan pemberian RM100 di bawah Sumbangan Asas Rahmah kepada semua penerima berusia 18 tahun ke atas baru-baru ini. Walaupun ia merupakan bayaran sekali sahaja, saya sedar masih ada keperluan lain.
Justeru, kita boleh mempertimbangkannya dalam belanjawan akan datang termasuk langkah-langkah yang dapat meringankan beban rakyat," kata Datuk Seri Anwar pada program Temu Anwar di Universiti Multimedia (MMU) di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan seorang wakil mahasiswa yang mencadangkan agar kerajaan MADANI dapat menyalurkan bantuan tambahan kepada mereka.
Biarpun berdepan cabaran kos sara hidup, Datuk Seri Anwar berkata harga minyak, ayam, telur dan gula di Malaysia masih jauh lebih rendah daripada negara lain.
"Itu kita perlu akui. Apakah ia merunsingkan? Ya, memang merunsingkan. Jika ditanya apakah masalah yang paling membimbangkan saya sebagai Perdana Menteri, ia adalah isu kemiskinan tegar, kemiskinan rakyat serta beban yang mereka tanggung.
Hal ini mesti kita tangani dengan sebaik mungkin. Namun percayalah, apabila kerajaan menaikkan gaji penjawat awam baru-baru ini, gaji menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen tidak kita naikkan. Itu adalah isyarat jelas bahawa kami sedar akan tanggungjawab dan keutamaan yang perlu diberikan kepada rakyat," jelasnya.
Selain itu, beliau menegaskan sistem perolehan negara harus telus untuk memastikan perbelanjaan negara dapat dijimatkan.
"Oleh itu, saya menegaskan kepentingan tatakelola yang baik. Jika kita dapat melaksanakannya dengan berkesan, banyak yang dapat kita selamatkan.
Sebagai contoh, dalam tempoh satu hingga dua tahun yang lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas dana daripada pihak yang mengaut kekayaan tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang. Jumlah yang diperoleh mencecah sehingga RM4 bilion hingga RM5 bilion" katanya.