fb fb fb fb fb

Elemen kemanusiaan tidak boleh diketepikan dalam era kemajuan teknologi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

CYBERJAYA, 18 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan elemen kemanusiaan tidak boleh diketepikan sama sekali meskipun negara sedang menuju ke arah kemajuan teknologi, termasuk dengan penerapan kecerdasan buatan (AI).

Dengan mengambil contoh kes buli sehingga menyebabkan kematian serta cubaan mencetuskan kebencian di antara kaum, Datuk Seri Anwar berkata ia memerlukan usaha keras berterusan pelbagai pihak untuk terus mempertahankan negara daripada elemen negatif berkenaan.

"Maaf, saya tegaskan perkara ini, ini sangat penting. Kadang-kadang orang yang hasut perkara ini... dia tidak fikir masa depan, negara boleh berkecai sebab salah faham tentang kaum, agama, negara berkecai.

"Ada negara pecah, ada negara negara berpuluh tahun jadi pertarungan politik, sebab kaum dan agama, kita harus pilih. Ini bukan bantu satu pihak menenggelamkan pihak yang lain", katanya.

Beliau turut menempelak segelintir individu yang memiliki tahap pendidikan yang tinggi, namun sentiasa memilih cara berbahas yang hambar tentang perkauman, walaupun negara sudah 68 tahun mengecapi kemerdekaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi Temu Anwar @ Multimedia University, serta Perasmian Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan MMU di Cyberjaya, hari ini.

ROSLINA BINTI DIN