CYBERJAYA, 18 Ogos -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan tindakan segelintir pihak yang cuba memainkan isu-isu tertentu bertujuan memecah-belahkan perpaduan negara.
Menurut beliau, setiap isu yang berlegar dalam masyarakat ketika ini perlu ditangani secara bijaksana dan berhemah memandangkan Malaysia mempunyai undang-undang yang jelas.
Mengulas mengenai isu Jalur Gemilang Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak dan individu yang bersalah tetap akan dikenakan tindakan tegas.
"Politik harus stabil dan negara ini perlu belajar dari negara lain, mana ada negara di dunia bila bangkit soal benci kaum, benci agama yang selamat. Sama ada orang majoriti Melayu, Cina majoriti, tak kira lah mana pun tetapi kalau ada sikap sebegini, negara tidak akan selamat,"katanya kepada media dalam sesi Temu Anwar@Universiti Multimedia (MMU), di sini.
Beliau menjawab soalan pelajar mengenai langkah kerajaan melaksanakan agenda penyatuan nasional dan membanteras isu perkauman hingga ke akar umbi.
Pada masa sama, Perdana Menteri memuji kesedaran pelajar terhadap pentingnya perpaduan serta kesepakatan dalam membentuk negara yang maju.