KUALA LUMPUR, 18 Ogos -Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) UKM dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjalinkan kerjasama dalam Projek Pembangunan Model Kecerdasan Buatan Bahasa Melayu (AI-BM), dikenali sebagai Wahana Rintis Semantik Ayat Nasional (WaRiSAN MELAYU).
Majlis Menandatangani Letter of Intent (LoI) berlangsung di antara Dekan FTSM, UKM, Profesor Dr Nurhizam Safie Mohd Satar dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman di Menara Angkasapuri, hari ini.
Menurut Profesor Dr Nurhizam, inisiatif tersebut terkandung dalam bajet belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri berjumlah RM8 juta ke arah memperkasa kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Secara ringkasnya, saya boleh katakan bahawa dengan teknologi AI yang ada sekarang, kita berpeluang untuk mengumpul dan mengarkibkan pelbagai maklumat. Contohnya, dengan penggunaan platform seperti ChatGPT, DeepSeek, atau Gemini, rakyat Malaysia kini hanya perlu taip ‘prompt’ tertentu dan kita dah boleh cari karya-karya sastera Melayu, hasil-hasil sastera agung atau istilah-istilah bahasa Melayu yang terkini." kata Profesor Dr Nurhizam kepada pemberita, di sini.
"Kerjasama dengan RTM ini boleh dikatakan yang kedua. Yang pertama, kita sedang bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang boleh dianggap sebagai pemegang taruh utama dalam pembangunan Bahasa Melayu. Bagi RTM pula, kita telah menandatangani Surat Niat (LoI) bersama. Jadi, harapnya kerjasama ini dapat membantu memperkayakan dan memperkasakan lagi penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia,"katanya lagi.