CYBERJAYA, 18 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa tidak akan menyembunyikan sebarang fakta mengenai kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir seperti yang didakwa pihak tertentu.
Datuk Seri Anwar mengulas lanjut penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung perincian kes berkenaan di Parlimen, hari ini.
“Begitu mudah orang terhasut. Kalau benar berdasarkan fakta, tidak mengapa. Masalahnya, kita terlalu mudah percaya termasuk mereka yang cerdik pandai. Dengar satu dakwaan kononnya datang daripada seorang ahli patologi tersohor, kononnya memberi gambaran itu dan ini.
Tetapi bila kita periksa, tidak wujud pun ahli patologi tersebut. Tidak ada dalam rekod kita. Semuanya palsu. Namun, pada ketika itu orang sudah terlanjur marah, jutaan orang sudah panas. Keadaan ini tidak boleh kita biarkan, saudara," kata Datuk Seri Anwar pada program Temu Anwar di Universiti Multimedia (MMU) di sini, hari ini.
Beliau turut bertegas untuk tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes berkenaan selain menekankan pelaku akan disiasat dan didakwa.
"Anak VVIP, saya peduli apa anak siapa? Kalau kes libatkan pembunuhan atau buli, saya tidak peduli anak siapa. Tetapi, siasat dan dakwa.
Jangan kata kita nak selindung. Apa sebab, apa guna kita memegang kedudukan begini, (tetapi) nak selindung orang? Saya tidak peduli, jika anda bersalah, anda telah melakukan kesalahan. Anak siapa pun, saya peduli apa. Kamu buat salah, kamu terima hukuman," tegas beliau lagi.