SUNGAI PETANI, 1 Mei- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil pelbagai langkah bagi menangani Kluster Influenza Like Illness (ILI) yang melibatkan pelajar di daerah Kuala Muda, Kedah.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari berkata maklumat daripada pejabat kesihatan daerah menunjukkan prosedur yang ditetapkan oleh KKM telah dilaksanakan dengan teliti.
Beliau juga menambah, keadaan semasa adalah terkawal, namun mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk berpanjangan atau lemah badan.
"Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Kesihatan Awam telah mengambil maklum mengenai perkara ini dan semua prosedur berjalan dengan baik. Insya-Allah, keadaan adalah terkawal," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat pesakit kanser lidah, Asfarizal Karfizi Abd Ghani di Sungai Jagung di sini semalam.
Pada 23 April lalu, seramai 28 pelajar daripada 158 pelajar yang terdedah dengan jangkitan itu disahkan mengalami gejala ILI, dengan kadar jangkitan 17.7%.
Enam pelajar disahkan positif Influenza A dan telah dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini sebelum dibenarkan pulang.
Sementara itu, 22 pelajar yang bergejala ILI terus mendapat rawatan sebagai pesakit luar.