GEORGE TOWN, 1 Mei - Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Ramli Ngah Talib mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, di Dewan Sri Pinang, George Town, pagi tadi.
Ketibaan beliau yang diiringi isteri, Toh Puan Noora Ashikin Raja Abdullah, disambut dengan 17 das tembakan meriam sebagai simbolik pelantikan.
Tun Ramli kemudiannya menandatangani surat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang selepas melafazkan sumpah.
Istiadat, disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi negeri, Datuk Rozana Ali Yusoff dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Zulkifli Long.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turut menyampaikan ucapan tahniah dan lafaz ikrar taat setia kepada Tun Tamli atas pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ke-9.
24 April lalu, Tun Ramli menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam istiadat khas di Istana Negara.
Pelantikan itu bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyandang jawatan tersebut sejak 1 Mei 2021.