fb fb fb fb fb

KKM sedia tambah baik, usaha tangani tekanan petugas kesihatan

PUTRAJAYA, 19 Jun- Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah baik langkah-langkah sedia ada bagi menangai isu tekanan dan kesihatan mental, khusus dalam kalangan petugas kesihatan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata kementerian mengambil berat masalah berkenaan dan berharap petugas yang terlibat, mendapatkan bantuan disediakan.

Beliau mengulas kematian mengejut melibatkan dua petugas kesihatan di Klang baru-baru ini.

Pihak polis tidak menolak kemungkinan, satu kes membabitkan seorang doktor wanita hamil empat bulan yang ditemui mati tergantung dirumahnya akibat tekanan perasaan.

"Kita dalam siasatan kes tersebut...apapun saya amat terkesan dengan perkara itu dan kita mengambil berat isu kesihatan mental dalam kalangan petugas.

"Kita akan mengambil langkah-langkah mendekatkan lagi dan saya minta supaya mana-mana petugas yang mempunyai masalah dari sudut emosi, tekanan dan sebagainya...kita ada ruang dan tempat untuk melakukan konsultasi dan sebagainya.

"Ambil peluang itu dan saya harap kita semua khususnya petugas kesihatan menjaga diri dan harap perkara ini tidak terus berulang, apapun kita lakukan siasatan dengan lebih terperinci," katanya.

(Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa)

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa "Global Association of Clinical Officers and Physician Associates" (GACOPA), di sini hari ini.

Tambahnya, masalah kesihatan mental merupakan sebahagian daripada Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan diberi keutamaan dalam tonggak kedua Kertas Putih Kesihatan.

Tonggak kedua itu ialah mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit.

Pelbagai langkah telah diambil seperti sesi kauseling dan Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555.

Media Baharu