fb fb fb fb fb

KKM perkukuh rawatan jantung

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melawat reruai pameran kesihatan ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Jantung Jelajah Wira MADANI 2025 di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) hari ini. / BERNAMA

SERDANG, 4 Oktober - Dua makmal Invasif Kardiologi (ICL) akan ditambah di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada 2027.

Menurut beliau, langkah itu penting untuk memperkukuh rawatan jantung di hospital kerajaan, selain memberi penekanan kepada pencegahan penyakit kardiovaskular yang kekal pembunuh utama di negara ini.

Selain itu katanya Kesihatan Malaysia (KKM) menambah baik fasiliti rawatan jantung dengan pembinaan makmal kateterisasi jantung baharu (Invasive Cathlab, ICL) di tiga hospital negeri iaitu Hospital Melaka, Hospital Miri dan Hospital Tawau, Sabah.

Setiap pembinaannya menelan belanja RM14.5 juta, selaras dengan usaha kementerian memperkukuh perkhidmatan kardiologi di seluruh negara.

“Kita akan ambil pendekatan pelbagai hala (multi-pronged approach) dengan tidak menafikan keperluan untuk sentiasa memperkasa fasiliti yang sifatnya acute care di pusat jantung contohnya Serdang dan lain.

"Kita ada pertambahan cathlab atau ICL di beberapa hospital termasuk Melaka, Miri dan Tawau. Saya sempat ke Tawau baru-baru ini untuk melihat sendiri, kos keseluruhan sekitar RM14.5 juta. Kita juga akan menambah, insya-Allah, dua lagi ICL di Pusat Jantung Serdang, ini perolehan 2026 dan insya-Allah kita laksanakan pada 2027." katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Jantung Jelajah Wira MADANI 2025 di HSIS di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly menegaskan pencegahan kekal sebagai agenda utama KKM memandangkan penyakit kardiovaskular masih menjadi punca kematian tertinggi di Malaysia.

“Jika kita hanya bergantung kepada rawatan kuratif, kita akan sentiasa berada dalam keadaan krisis. Kajian NHMS mendapati satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai kolesterol tinggi, satu daripada tiga menghidap hipertensi dan satu daripada enam menghidap diabetes. Inilah ‘resipi’ kepada krisis penyakit kardiovaskular yang berterusan,” katanya.

Tumpuan perlu diberikan kepada pengukuhan program saringan awal, gaya hidup aktif, pemakanan sihat serta pengurusan faktor risiko secara menyeluruh.

Ketika mengulas mengenai Belanjawan 2026, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata KKM sedang dalam perbincangan intensif dengan Kementerian Kewangan dan pihak berkaitan bagi memperkukuh peruntukan kesihatan termasuk untuk rawatan jantung.

“Kami difahamkan ada perkembangan positif dan insya-Allah ada berita baik untuk kita semua,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM45.3 bilion kepada KKM, meningkat daripada RM41.2 bilion pada 2024.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID