KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Malaysia kini memperkukuh kedudukan sebagai pemain angkasa di peringkat antarabangsa selepas memuktamadkan penyertaan dalam Triti Angkasa di bawah United Nations Committee on the Peaceful Uses of Outer Space (UNCOPUOS).
Penyertaan Malaysia itu susulan penyerahan instrumen penyertaan negara dalam Convention on Registration of Objects Launched into Outer Space (REG 1975) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, penyertaan itu juga menyokong pelaksanaan Dasar Angkasa Negara dan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834).
"Penyerahan penyertaan itu menandakan satu lagi komitmen penting Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus angkasa lepas di peringkat global.
"Ini khususnya dari aspek pendaftaran objek angkasa, keselamatan operasi satelit dan ketelusan penggunaan teknologi angkasa bagi tujuan aman.
"Langkah ini sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia bagi mematuhi kerangka undang-undang antarabangsa di bawah naungan PBB, memastikan keselamatan serta kelestarian penggunaan angkasa lepas," menurut kenyataan itu hari ini.
MOSTI menegaskan, penyertaan Malaysia dalam Konvensyen REG 1975 turut sejajar dengan matlamat Dasar Angkasa Negara 2030 dan prinsip Malaysia MADANI dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi angkasa tempatan yang mampan.
Penyerahan itu dilakukan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kepada Hal Ehwal Undang-Undang dan Penasihat Undang-Undang PBB, Elinor Jane Britt Hammarskjöld, dalam satu majlis rasmi di Ibu Pejabat PBB, New York pada 26 September lalu.
Triti Angkasa adalah asas kepada undang-undang angkasa antarabangsa yang menggariskan prinsip-prinsip utama.
Antaranya, penerokaan dan penggunaan ruang angkasa demi kepentingan semua negara yang hanya untuk tujuan keamanan serta larangan menggunakan platform angkasa bagi tujuan ketenteraan.