fb fb fb fb fb

Remaja lelaki lemas selepas tergelincir ke dalam tali air

Foto RTM

ALOR SETAR, 4 Oktober – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam tali air di Kampung Alor Setol, Mukim Langgar di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira pukul 10.04 pagi memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki tidak sedarkan diri di tepi tali air berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama empat rakan telah pergi memancing di kawasan tersebut sekitar pukul 9 pagi.

"Sewaktu melalui pesisir tali air, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam air. Rakan-rakannya cuba menyelamatkan namun tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang hadir ke lokasi mengesahkan kematian mangsa.

Menurutnya lagi, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah untuk tujuan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

ACP Siti Nor Salawati turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri, terutama pada musim hujan dan banjir.

“Ibu bapa serta penjaga dinasihatkan supaya memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD