KOTA BHARU, 18 September - Persiapan menghadapi musim monsun dan kemungkinan fenomena La Niña sedang giat dilaksanakan di seluruh negara, termasuk kawasan terjejas banjir dan tanah runtuh di Sabah serta negeri berisiko banjir di Pantai Timur.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah, berkata semua hospital negeri, hospital daerah dan klinik kesihatan telah diarahkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) banjir yang ditetapkan, termasuk memastikan kelancaran logistik serta kecukupan bekalan farmaseutikal sepanjang tempoh bencana.
Katanya, KKM turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pelbagai agensi lain bagi memperkukuh sistem logistik, selain mengaktifkan “Sistem Amaran Awal” di semua peringkat.
“SOP tetap ni..kita akan mintak setiap setiap lapangan klinik kesihatan daerah, hospital negeri untuk ikuti apa SOP banjir yang telah ditetapkan. Dari segi logistik dan bekalan kita pastikan banjir atau bencana nanti, bekalan mencukupi terutama bekalan farmaseutikal. Ini adalah untuk mengelakkan terputus sistem penyampaian melibatkan bekalan ubatan di lapangan klinik kesihatan dan hospital”.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-27 dan Mesyuarat Exco Kali Ke-132 Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia, di sini hari ini
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Tambah beliau, selepas banjir, kawalan kesihatan awam termasuk pencegahan penyakit bawaan air seperti leptospirosis (kencing tikus) dan HFMD perlu digerakkan segera, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, pejabat daerah serta fasiliti lapangan.
Mengulas situasi bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah, katanya KKM terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan fasiliti kesihatan di kawasan terjejas, khususnya di Penampang, Kota Kinabalu, Sandakan dan Pantai Timur Sabah, kekal beroperasi semasa bencana.
Mengulas mengenai bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah katanya, KKM akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah untuk memastikan fasiliti kesihatan di kawasan terjejas, khususnya di Penampang, Kota Kinabalu, Sandakan dan Pantai Timur Sabah, tidak terputus operasi semasa bencana.