fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: KKM harap peruntukan tambahan tingkatkan fasiliti kesihatan

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah

KOTA BHARU, 18 September - Usaha menambah baik fasiliti wad kelas tiga demi keselesaan pesakit antara enam inisiatif berimpak besar yang dicadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2026.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) menerusi beberapa siri libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya, usaha tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, selesa dan menyeluruh kepada rakyat.

Inisiatif berkenaan turut dibincangkan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dengan harapan dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026.

“Ini adalah touchpoint yang kami fikir selaras dengan aspirasi MADANI untuk beri khidmat lebih baik dan selesa. Sebahagian peruntukan telah dikemukakan kepada MOF dan kami berharap dalam bajet yang akan dibentang oleh Menteri Kewangan pada 10 Oktober nanti akan ada berita gembira untuk KKM, khususnya menambah baik fasiliti di wad, terutamanya di hospital utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-27 dan Mesyuarat Exco Kali Ke-132 Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia di Kota Bharu.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin.

Datuk Seri Zahrul Hakim menambah, KKM turut mengusulkan kenaikan elaun khas untuk pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan yang bertugas di kawasan pedalaman serta lokasi sukar, bagi memastikan operasi kesihatan tidak terjejas.

Katanya, walaupun permohonan itu melibatkan implikasi kewangan agak besar, namun pihaknya berharap kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya agar petugas kesihatan di luar bandar kekal bersemangat dan dapat memberi tumpuan penuh kepada tugas di lapangan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI