fb fb fb fb fb

RUU pindaan Akta Pembantu Perubatan dijangka dibentang tahun depan

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah

KOTA BHARU, 18 September - Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Pembantu Perubatan 1977 [Akta 180] dijangka dibentangkan di Parlimen seawal suku pertama atau kedua tahun depan, selepas lebih 40 tahun akta itu digunakan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah berkata, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan telah selesai dilaksanakan, manakala draf pindaan kini dalam semakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Menurutnya, pindaan akta berkenaan penting bagi memperkukuh profesion Pembantu Pegawai Perubatan (PPP), khususnya dalam memastikan kebajikan dan laluan kerjaya mereka lebih baik serta seiring dengan peranan sebagai barisan hadapan perkhidmatan kesihatan.

“Saya berharap pindaan ini akan memberi lebih banyak penambahbaikan kepada profesion pembantu perubatan yang kita sedia maklum merupakan barisan hadapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Semasa pandemik COVID-19 yang lalu, merekalah antara barisan utama yang sentiasa cekal dan tidak gentar melaksanakan amanah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-27 dan Mesyuarat Exco Kali Ke-132 Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia di Kota Bharu.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Ketika ini, terdapat kira-kira 8,500 PPP di Semenanjung Malaysia yang terlibat secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.

Dengan pindaan akta tersebut, skim perkhidmatan PPP dijangka lebih berkembang seiring pengiktirafan yang telah diberikan kepada pegawai perubatan serta jururawat sebelum ini.

Pindaan Akta 180 itu juga turut melibatkan usaha mengukuhkan kerangka perundangan berkaitan pengamal paramedik, yang sebelum ini diletakkan bawah Lembaga Pembantu Perubatan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI